Bisnes Online - Bisnes Online dari Kampung

Bila sebut sahaja bisnes online, kita akan terbayang satu konsep bisnes yang boleh boleh dilakukan dari mana-mana sahaja. Untuk kes saya, saya adalah usahawan yang tinggal di kampung, dengan hanya berkain pelikat sebagai pakaian rasmi pejabat dan menjalankan bisnes online dalam pembangunan website dan kreatif. Artikel ini menerangkan perjalanan dan perancangan saya yang mungkin ada menyentuh sensitiviti anda, namun anggap sahaja sebagai perkongsian untuk dijadikan rujukan.

Pelan Selepas Graduasi

Saya sebenarnya seorang yang aktif dan seni dan muzik pada zaman universiti saya (2008-2012). Mengurus kumpulan orkestra, berteater, muzik asli dan juga ketua kelab Ghazal adalah antara pengalaman yang menyeronokkan buat saya semasa di universiti. Klise, saya memasang cita-cita untuk mempunyai studio sendiri yang menghasilkan muzik, video, filem dan juga membuat persembahan pentas.

bisnes online kampung

Permandangan di halaman rumah di kampung.

Oleh kerana sasaran cita-cita saya memerlukan modal yang sangat besar, saya tidak boleh terus membuat pinjaman kerana tiada asas dalam perniagaan, pasaran dan juga tidak mempunyai pendapatan yang betul-betul stabil. Saya mengambil keputusan untuk membina bisnes dari apa yang saya ada iaitu kemahiran dan komputer.

Peringkat Awal Bisnes

Pada permulaan bisnes, perancangan bisnes saya lebih kepada eksperimen dan logik semata kerana saya tiada ilmu perniagaan, network dan pengalaman. Saya membuat keputusan untuk fokus memperkenalkan nama syarikat saya Le Harmonie Studio kepada orang ramai dengan memberi sesuatu yang boleh menjadi viral supaya saya tidak perlu mengeluarkan kos iklan dan sebagainya.

Saya mula serius dalam bisnes adalah pada awal tahun 2013 dan kebetulan pula pada masa itu aura politik dan PRU sangat kuat. Saya mengambil risiko untuk menggunakan PRU dan politik sebagai medium untuk saya meluncur/menumpang gelombang pemasaran supaya orang boleh mengenali syarikat saya.

[xyz-ihs snippet=”kami-penyamun”]

Video di atas adalah antara video-video yang saya hasilkan dan dikongsikan pada facebook dan telah mendapat jumlah share yang banyak, melebihi  ribuan share dan tidak termasuk page-page lain yang telah memuat naik semula di page mereka. Setiap video saya mempunyai intro Le Harmonie Studio untuk memperkenalkan syariakat saya pada orang ramai.

Semua video-video lagu dan animasi saya sepenuhnya hasil usaha saya sendiri, dari nyanyian, rakaman alat muzik, dan juga video animasi. Ianya sepenuhnya one man show dan saya akui memang penat melakukannya seorang diri.

Setelah tamat tempoh PRU13, saya mula mendapat pelanggan yang memerlukan perkhidmatan design dan website dan kebanyakan mereka mengenali saya dari video-video lagu dan animasi yang telah menjadi viral. Dalam tempoh 6 bulan, saya telah membuat hampir 20 buat website dan kerja design yang lain hanya dari kampung.

Mungkin ada yang tidak bersetuju kerana saya menggunakan politik untuk membawa perniagaan, tetapi itu adalah pilihan terbaik saya untuk memperkenalkan syarikat saya kepada umum kerana saya tidak mempunyai sebarang network dan juga ilmu perniagaan. Hanya logik dan berbekalkan kemahiran yang ada sahaja.

Perubahan

Pada hujung tahun 2013, saya mendapati setiap post di fanpage saya semakin hambar dan kurang view. Fanpage tidak seperti biasa dan ini sangat memberi kesan kepada bisnes saya. Saya telah mengambil keputusan untuk berpindah secara sepenuhnya kepada website dan menggunakan media sosial hanya sebagai channel traffic.

Selain itu, saya mula mem-branding-kan diri saya secara perlahan-lahan dengan keluar dari kampung untuk ke Kuala Lumpur, berjumpa dengan usahawan, membuat personal coaching, training dan membantu usahawan-usahawan lain melalui online (website) dan juga offline (berjumpa).

Cara saya berfikir mula berubah dari menjual servis kepada membina bisnes. Menggunakan puluhan website pelanggan saya sebagai data kajian, saya mendapati tidak semua semua website berguna dan membawa keuntungan kepada pemilik. Hanya 30% dari pelanggan saya berjaya membuat keuntungan dari website yang saya bangunkan.

Run a business, not only own a business..
Run a website, not only own a website..

Saya perasan satu persamaan konsep online dan offline yang jelas iaitu usahawan bukan sekadar memiliki bisnes, usahawan perlu menggerakkan bisnes. Konsep yang sama perlu ada pada identiti online seperti website. 30% pelanggan saya yang berjaya adalah mereka yang menggerakkan website mereka.

Website Yang Beroperasi

Sudah hampir 4 bulan sejak saya mula serius dalam menggerakkan website Le Harmonie Studio. Kesannya sangat memberangsangkan dan jelas apabila semakin hari semakin banyak usahawan yang mendekati saya, tawaran JV, permintaan personal coaching dan juga kelas training.

Cara saya menggerakkan website agak mudah, iaitu fokus dalam menyediakan content yang membantu atau bermanfaat kemudian gunakan media sosial untuk mendapatkan traffic (selitkan produk/servis pada content). SEO juga sangat penting kerana saya memerlukan traffic dari search engine supaya channel traffic saya lebih besar.

Jika anda berjaya menggerakkan website anda seaktif media sosial, saya pasti dalam beberapa bulan anda akan lihat kesan yang jauh lebih besar berbanding sekadar memiliki fanpage di facebook dan anda boleh berbisnes online hanya dari kampung seperti saya.

 

Wan Syafiq

Pemilik syarikat Le HarmonieS. Sdn Bhd.