Bisnes Online

Tahun 2014 bakal menjadi tahun yang mencabar untuk usahawan lama mahupun baru. Dengan kos ini meningkat, kos itu pun meningkat, sudah pasti akan memberi kesan pada kuasa beli rakyat Malaysia. Disinilah kreativiti dan ketabahan usahawan seperti saya akan diuji terutama yang baru berjinak dalam dunia perniagaan.

Bisnes sudah seperti menjadi satu trend di Malaysia. Anda boleh lihat banyak kursus, ebook, dan seminar tentang perniagaan diiklankan samada menggunakan media elektronik, surat khabar mahupun secara mulut ke mulut. Ini membuktikan wujudnya kemahuan berbisnes yang tinggi dikalangan rakyat Malaysia.

Sebut sahaja tentang bisnes, sudah menjadi keharusan setiap bisnes untuk mempunyai sebuah platform online untuk memperkenal bisnes kepada masyarakat melalui internet.

Kenapa memilih bisnes online?

Pada zaman yang serba canggih dengan akses internet hampir dimana sahaja, saya rasa semua orang perlu mencuba berniaga secara online. Ianya tidak memerlukan kos yang tinggi untuk memulakan perniagaan online, malah anda boleh berniaga online tanpa sebarang modal! Pelbagai kaedah perniagaan yang bermodal rendah boleh dicuba seperti dropship, affiliate, servis dan sebagainya.

Anda boleh mencuba pelbagai strategi pemasaran melalui bisnes online kerana kos yang diperlukan adalah kecil dan mudah. Tambahan lagi, bisnes online secara tidak langsung melatih pelbagai kemahiran anda seperti kreativiti, interaksi, merancang, leadership dan banyak lagi. Yang penting, jangan takut untuk gagal kerana kegagalan adalah faktor penting untuk berjaya di dalam perniagaan.

Sediakan tapak bisnes online

Anda mungkin tidak pasti samada menggunakan facebook atau website sendiri sebagai tapak bisnes online anda. Hakikatnya, anda memerlukan kedua-duanya untuk membina tapak bisnes online yang kukuh. Website sebagai pusat bisnes dan facebook sebagai medium pemasaran. Anda boleh rujuk infografik yang saya sediakan tentang perbandingan website dan facebook disini.

Jika anda rujuk kepada syarikat yang mempunyai identiti yang kukuh di ruang siber, anda pasti mendapati bahawa mereka mempunyai website yang baik dan banyak medium sosial yang aktif, bukan sahaja Facebook malah Twitter, Instagram, Google Plus, Linkedin dan banyak lagi. Kesemua medium sosial ini akan mengukuhkan brand, menambah kepercayaan kepada perniagaan anda dan menjana traffic ke website anda.

Bagaimana Membina Tapak Bisnes Online Yang Berkesan

Mendapatkan traffic/pengunjung

Perkara utama dalam bisnes online adalah mendapatkan traffic atau pengunjung. Oleh sebab itu, anda perlu rancangan bagaimana untuk mendapatkan traffic di website anda.

Anda boleh menggunakan pelbagai saluran untuk mendapatkan traffic samada berbayar ataupun percuma. Untuk traffic berbayar, anda boleh menggunakan medium pengiklanan seperti Google Adword, Facebook Ads, menyewa ruang iklan di blog/page yang terkenal dan beberapa cara lain. Untuk mendapatkan traffic secara percuma, disinilah pentingnya media sosial sebagai medium pemasaran bisnes anda. Dengan menggunakan media sosial seperti facebook, anda boleh membina komuniti sasaran anda dan jadikan mereka sebagai sumber traffic website anda.

Bagaimana untuk menggunakan media sosial seperti facebook untuk membawa pengunjung ke webite? Kaedah popular yang digunakan adalah dengan menyediakan content berbentuk blog di website kemudian dikongsi pada laman sosial seperti facebook.

Kandungan/Content Website

Website bisnes dianggap sebagai sebuah website bisnes yang baik apabila anda berjaya  menyediakan kandungan website yang berkualiti.  Terdapat pelbagai jenis kandungan berkualiti yang anda boleh sediakan di website anda, antaranya adalah dengan menyediakan kandungan yang berharga. Maksud kandungan yang berharga adalah kandungan yang memberi kesan atau bermanfaat untuk pembaca.

Untuk pengetahuan anda, saya telah membina lebih 20 website untuk pelanggan saya pada tahun 2013 dan kebanyakan daripada website tersebut tidak berjaya menjadi sebuah website bisnes yang berjaya. Ini disebabkan kebanyakan usahawan mengupah website designer untuk menyediakan website tanpa kandungan dan traffic yang berkualiti. Ianya umpama menyediakan kad bisnes kemudian simpan di rumah, tidak memberi kesan kepada perniagaan.

Jika anda pening memikirkan tentang kandungan website yang anda perlu sediakan, anda boleh fokus untuk menyediakan sesuatu yang dapat membantu orang lain seperti tips, strategi dan sebagainya, anda pasti dihargai. Ini adalah satu teknik soft marketing yang sangat-sangat berkesan dan diguna pakai oleh banyak syarikat-syarikat yang telah berjaya.

Sebagai contoh, artikel yang saya tulis ini mengambil masa lebih dari setengah hari untuk disiapkan. Saya merujuk banyak artikel lain dan mengulas topik ini berdasarkan pandangan dan pengalaman saya sendiri untuk menghasilkan artikel yang original. Kandungan seperti ini yang anda perlu sediakan supaya website anda unik dan bermanfaat.

Kenapa ramai yang tidak berjaya?

Banyak sebab mengapa usahawan menarik diri dari bisnes online. Antara sebab utama adalah kerana tidak tahu mengatasi kegagalan. Ada yang gagal menyediakan tapak bisnes online  yang asas dan ada juga yang berputus asa apabila tidak mendapat keuntungan setelah beroperasi. Kebanyakannya tidak berjaya menyediakan tapak bisnes online dengan baik.

Lebih mengecewakan adalah apabila usahawan itu berhenti apabila gagal memperkenalkan produk atau idea kepada orang ramai sedangkan produk atau idea itu adalah sangat baik. Saya sendiri sudah banyak kali gagal dalam memperkenalkan idea saya sebelum ini, antara program saya yang tidak berjaya adalah Pasar Online, Busut Niaga dan PBOS. Kesemuanya tidak mendapat sambutan walaupun tujuan saya adalah untuk membantu peniaga.

Penyelesaian

Untuk menyediakan tapak bisnes online yang berkesan, pertama sekali anda perlu menyediakan 2 perkara utama iaitu mempunyai sebuah website dan penjana traffic (facebook page/profile). Anda boleh menggunakan CMS seperti WordPress, Joomla, Drupal dan sebagainya untuk membina website anda, selain daripada maklumat syarikat dan produk, anda perlu ada sistem blog pada website untuk menyediakan content-content untuk pengunjung. Gunakan facebook sebagai medium memasarkan content website anda.

Kaedah penyediaan content dan menyebarkan melalui media sosial adalah satu kaedah yang baik untuk memperkuat reputasi bisnes anda. Pastikan anda konsisten dalam menyediakan content yang berkualiti dan anda perlu ingat bahawa bisnes online yang berjaya tidak dibina dalam masa sebulan atau dua.

Notis: Artikel ini hanya menyentuh tentang konsep paltform bisnes online yang basic dengan menghubungkan website dan media sosial, pelbagai lagi kaedah atau teknik yang perlu diaplikasikan dalam kedua-dua jenis platform ini.

Wan Syafiq

Pemilik syarikat Le HarmonieS. Sdn Bhd.